Di sekolah yang saya mengajar, kebanyakan guru boleh dikatakan adalah guru baru. Ramai juga yang tidak sampai 3 tahun mengajar di sekolah ini. Tengok muka pun boleh tahu yang guru tersebut masih muda, iaitu umur dalam lingkungan 20-an. Murid-murid biasanya tidak takut dengan guru-guru baru, dan disebabkan itu jugalah hal ini sedikit sebanyak menyukarkan pengawalan masalah disiplin di sekolah. Dari apa yang saya perhatikan, murid-murid lebih takut dan hormat dengan guru-guru yang agak senior. Kalau hendak diharapkan guru senior sahaja, susah-lah untuk kawal masalah disiplin murid di sekolah. Tapi itulah yang berlaku, kalau guru-guru yang muda menegur atau marah, sikit pun murid-murid tidak takut. Bukan semua murid macam itu, tapi kebanyakan kelas yang saja ajar adalah kelas hujung, jadi itu-lah yang saya hadapi setiap hari.
Bagi guru wanita yang muda dan baru berkahwin pula sudah tentu akan memohon untuk berpindah, jadi akan datang lagi guru baru untuk menggantikan tempat tersebut. Senang cerita, akan sentiasa bertambah bilangan guru-guru baru berbanding guru senior kerana trend untuk berpindah atas alasan-alasan tertentu. Dan disebabkan itu jugalah, masalah disiplin makin sukar untuk dikawal. Guru-guru tidak harus dipersalahkan secara penuh, tapi saya cuma ingin menyatakan apa sebenarnya yang sedikit sebanyak mempengaruhi pengawalan disiplin di sekolah.
Di sekolah saya, murid-murid itu sendiri pun sudah bermasalah bermula dari rumah lagi. Kebanyakan daripada mereka datang dari keluarga yang bermasalah. Disebabkan itu jugalah mereka cenderung untuk membuat masalah di sekolah. Oleh itu, tidak kiralah guru itu adalah muda atau senior, mereka tetap akan bermasalah.
Kalau ditanyakan kepada saya apa yang paling penting di sekolah, maka saya akan katakan 'DISIPLIN'.